Friday, November 6, 2009

Negeri Sembilan Berazam Tamatkan Penantian 61 Tahun Bawa Pulang Piala Malaysia


SEREMBAN, 4 Nov (Bernama) -- Negeri Sembilan berazam untuk membawa pulang Piala Malaysia pada musim ini sebagai hadiah istimewa kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 26 Okt lepas.Jurulatih skuad Rusa Wan Jamak Wan Hassan berkata keazaman itu dinyatakan oleh semua pegawai, pemain dan mereka berjanji untuk mengotakannya."Kami sedar misi ini bukan mudah tetapi kami semua telah bertekad untuk menjulang Piala Malaysia Sabtu ini, sekali gus menamatkan penantian 61 tahun dan kita mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada Tuanku Muhriz dan rakyat Negeri Sembilan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.Negeri Sembilan mengalahkan Terengganu 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu lepas untuk mara dengan agregat 4-1 manakala Kelantan layak ke perlawanan akhir setelah menyingkirkan Perlis dengan agregat 5-1.Kali pertama Negeri Sembilan menjejakkan kaki ke perlawanan akhir ialah pada tahun 1948 ketika itu dikenali sebagai Piala HMS Malaya dan berjaya merangkul piala itu selepas menewaskan Selangor 2-1.Namun, Negeri Sembilan dihampakan dua kali dalam perlawanan akhir selepas itu iaitu ketika tewas 0-2 kepada Perak pada tahun 2000 dan kecundang ketika menentang Perlis 1-2 pada tahun 2006, kedua-duanya di Stadium Nasional Bukit Jalil.Wan Jamak berkata musim ini adalah musim terbaik untuk pasukannya merealisasikan impian menjulang piala berprestij itu berdasarkan prestasi konsisten setiap pemain."Apa yang penting jangan sesekali hilang tumpuan kerana ia boleh membawa padah pada perlawanan akhir itu nanti," katanya.Katanya beliau tidak mahu memberi tekanan kepada pemain kerana sedar mereka sendiri ada keazaman yang tinggi untuk memburu kejuaraan yang diidam-idamkan.Wan Jamak berkata tumpuannya kini terarah kepada usaha menguatkan aspek fizikal dan mental pemain dan memastikan mereka mengekalkan rentak dan tidak mudah hilang tumpuan kerana para pemain bukan sahaja berdepan dengan pemain lawan tetapi juga ribuan penyokong lawan.Sementara itu, pemain penyerang Negeri Sembilan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, mahu memastikan namanya tersenarai sebagai penjaring gol pada final Sabtu ini."Matlamat saya adalah untuk menjaringkan gol di final nanti dan kalau boleh membuat hatrik untuk menjadikannya suatu detik bersejarah dalam hidup saya, apa lagi ia adalah final pertama bagi saya kerana tidak beraksi ketika Negeri Sembilan layak ke perlawanan akhir 2006," katanya.Penyerang kebangsaan itu yang kini bergandingan dengan Hairuddin Omar adalah antara tonggak barisan serangan Negeri Sembilan dalam memburu kejuaraan.Hairuddin, 30, pula berkata beliau tidak kisah siapa yang menjaringkan gol namun apa yang penting memenangi perlawanan akhir itu.Pemain yang berasal dari Setiu, Terengganu itu bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk mencapai impian itu, kecuali dengan semangat dan kekuatan sepasukan yang tinggi.-- BERNAMA

1 comment:

  1. walaupun tak minat dengan bola, tapi kerana semangat keNEGERIan yang kental dan membara lagi berapi(tak berapa nak panas sangat..hehe)...aku ikutkan jugak la..nak taknak..si Zafuan & Zakuan punya pasal..hehehe...

    HOBIN JANG HOBIN....

    ReplyDelete